25 September 2008

Bersahur kali terakhir...

Sekejap lagi Insya Allah saya akan bersahur buat kali terakhir di kolej untuk Ramadhan kali ini. Selepas itu saya akan pulang ke kampung untuk menyambut Eidulfitri bersama keluarga. Rindunya kat mak dan ayah. Tahun ni Insya Allah akan menyambut Eidulfitri di kampung halaman setelah beberapa tahun menyambut Eidulfitri di Sarawak. Terasa rindu untuk cium tangan mak dan ayah di pagi lebaran. Tahun ni baju raya ada orang hadiahkan. Cantik bajunya, warna maroon.

Pada kesempatan ini saya ingin ucapkan Salam Eidulfitri pada semua pengunjung blog ini, kawan-kawan, sahabat-sahabat, guru-guru, pensyarah-pensyarah serta sesiapa sahaja yang mengenali saya. Saya mohon kemaafan dari semua atas segala salah silap saya.

Salam Eidulfitri.





16 September 2008

"Medan dakwah sangat luas..."

Minggu lepas saya telah menyertai satu program yang dinamakan "Erti Nilai Kebebasan" bertempat di Tanjung Piai, Johor. Program tersebut merupakan satu program simulasi dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Johor. Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta dengan cara merasai sendiri kehidupan sebagai seorang banduan. Saya diberikan pakaian penjara yang berwarna putih dan nombor banduan JNC 515/2008. Saya juga digari untuk beberapa ketika. Makan dan tidur juga seperti banduan di penjara.

Sepanjang program saya berkesempatan untuk beberapa kali mengimami solat berjemaah. Saya juga berpeluang untuk menerangkan kepada kawan-kawan bagaimana solat jamak dan qasar dilakukan secara teori dan praktikal setelah diajukan persoalan oleh kawan-kawan. Saya juga mengetuai bacaan doa untuk iftar dan sahur.

Dalam satu pembentangan LDK yang membincangkan kesalahan-kesalahan jenayah, punca-punca jenayah serta penyelesaiannya, saya mengambil kesempatan untuk mengutarakan pendapat saya.

" Hari ini kadar jenayah terus meningkat. Penjara-penjara di Malaysia semakin sesak untuk menampung jumlah banduan yang meningkat semakin mendadak. Jenayah berlaku setiap hari. Tiap-tiap hari ada berita mengenai pembunuhan, rompakan, ragut serta pelbagai lagi jenayah. Penjenayah semakin ganas dan kurangnya sifat kemanusiaan. Orang ramai merasakan keadaan semakin tidak selamat dan mula memikirkan penyelesaian-penyelasaian untuk mengatasi masalah jenayah yang semakin meruncing ini. Pelbagai pendapat diberikan. Bagi saya kenapa tidak untuk kita menerima Islam sebagai penyelesaian. Sebagai contoh, hukuman memotong tangan bagi pencuri, hikmahnya sangat besar, antaranya hukuman potong tangan akan memberikan kesedaran yang lebih kepada masyarakat."

Kawan-kawan memberikan tepukan apabila saya selesai memberikan pendapat. saya tidak pasti samada tepukan itu kerana saya berani mengutarakan pendapat yang 'melawan arus' ataupun kerana perkara lain. Pengarah Jabatan Penjara Negeri Johor, Tuan Azman turut memberikan ulasan mengenai pendapat saya.

Pada majlis penutup saya ditugaskan untuk mengetuai bacaan ikrar peserta program. Saya dan kumpulan saya juga telah dipilih sebagai peserta terbaik dan kumpulan terbaik. Dapat hamper, kongsi dengan kawan-kawan.

Sepanjang perjalanan pulang, saya teringat pesan Murabbi, katanya: "Sesungguhnya medan dakwah ini sangat luas. Setiap peluang hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin... "

Barulah saya memahami apa yang dikatakan oleh Murabbi kerana pada awalnya saya keberatan untuk menyertai program ini kerana mengandaikan program ini tidak 'islamik'. Nampaknya program ini mengubah cara berfikir dan sikap saya dalam menilai sesuatu keadaan. Saya perlu mengubah mentaliti saya yang masih berada di takuk lama. Jangan jadikan alasan 'tidak islamik' untuk menjauhi medan dakwah. Mad'u perlukan daie yang memahami cara hidup dan masalah mereka bukannya daie yang hanya tahu bergaul dan berkawan dengan golongan sendiri dan kemudiannya menghukum mad'u dengan pelbagai cercaan dan tohmahan, bukannya mahu memberikan tunjuk ajar. Juga bukan daie yang hidup dalam kerangka yang sempit dan melemaskan.

Mujahid dan mujahidah, sesungguhnya medan dakwah sangat luas...

10 September 2008

Dimanakah Abi?

Saya bukanlah peminat nasyid dalam ertikata mengikuti setiap perkembangan mana-mana kumpulan nasyid arus perdana hari ini. Saya hanya menikmati nasyid yang 'kena' dengan jiwa saya, antaranya ialah satu lagu nasyid yang bertajuk 'Dimanakah Abi?', yang disampaikan oleh kumpulan Arraid.

-------------------------------------

Dimanakah Abi - Arraid

Dalam damai teratak sepi
Menjelma pertanyaan menyentak hati
Bermainlah pilu sang isteri
Membelai pipi permata suci

Ummi, dimanakan abi
Bergetarlah bibir mencari
Perlukah kukisahkan
Apa yang terjadi
Pada si kecil yang ingin mengerti
Sayang abi kekasih umi
Pergi mencari cinta ilahi

Tidurlah sayang
Dodoikan bersama zikir mendamaikan
Bangunmu esok menjadi pejuang
Mujahid sepanjang zaman

------------------------------------

Ah, nasyid ini benar-benar meruntun jiwa saya.

09 September 2008

Sembang Pasca Rehlah

Balik terawih tadi saya pergi ziarah junior saya. Minggu lepas kami rehlah sama-sama. Balik rehlah tempohari, baru tadi saya berkesempatan bersembang dengannya. Tadi beliau bertanyakan beberapa perkara mengenai perbualan kami semasa rehlah tempohari. Katanya, perbualan hari tu tak habis lagi, jadi beliau minta saya sambung balik perbualan tersebut.

Saya kata boleh je...

Konklusinya, setelah saya menerangkan panjang lebar mengenai beberapa pertanyaan beliau semasa rehlah tempohari, yang ditambah dengan pelbagai soalan lagi, saya meminjamkan buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' karya Ustaz Fathi Yakan kepadanya.

Saya mengesyorkan beliau membaca beberapa bahagian daripada buku tersebut untuk menambahkan lagi kefahaman mengenai topik yang kami sembang tadi. Saya mencadangkan beliau membaca Bahagian Kedua: Bab 2 : Saya Mesti Meyakini Bahawa Beramal Untuk Islam Adalah Wajib

Disini saya petik sebahagian daripada Bab 2.

------------------------------------------------------

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.

Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda').
Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.
Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).
Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam. Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.
Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.
Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab. Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan mereka yang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.

--------------------------------------------------------------

Baca elok-elok ye adik. Nanti jadi pejuang Islam.

03 September 2008

Kenangan Ramadhan - Terima Kasih Ustaz

Tahun ini merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadhan di Semenanjung Malaysia setelah tiga tahun menyambut Ramadhan di Sarawak Bumi Kenyalang. Tiga tahun menyambut Ramadhan di Sarawak telah mengukir pelbagai kenangan yang tak dapat dilupakan. Saat azan berkumandang menandakan waktu berbuka puasa telah mengingatkan saya kenangan-kenangan ketika di Sarawak.

Sosok yang paling membekas di jiwa saya sempena Ramadhan ialah pensyarah saya semasa di Sarawak iaitu Ustaz Che Bakar Che Mat. Sewaktu Ramadhan beliau selalu berbuka puasa bersama-sama kami, para mahasiswa. Kami biasanya akan menganjurkan majlis berbuka puasa di surau kampus. Kami akan bersama-sama memasak juadah untuk berbuka puasa. Ustaz Che Bakar selalu menyertai kami memasak juadah berbuka puasa. Ustaz Che Bakar memang suka memasak dan masakannya memang sedap. Sambil memasak Ustaz Che Bakar akan berbual dengan kami sambil memberikan pengajaran-pengajaran yang berguna. Celotehnya yang bersahaja membuatkan kami tidak bosan mendengarnya.

Ramadhan kali ini menggamit rindu saya untuk berbuka bersama Ustaz Che Bakar.

Ustaz Che Bakar memang istimewa kepada saya. Beliau banyak mendidik dan membentuk saya menjadi insan yang hidup kerana Allah dan memberi manfaat kepada manusia. Beliau banyak mengajar saya untuk menjadi seorang daie yang bagus walaupun saya sekarang masih belum lagi menjadi daie yang bagus. Ustaz Che Bakar juga seorang yang tinggi siasahnya. Pandangan-pandangan beliau amat bermanfaat untuk saya dalam menggerakkan usaha saya yang tak seberapa ini untuk Islam. Ustaz Che Bakar merupakan seorang yang cukup sederhana dan merendah diri.

Ustaz Che Bakar seorang yang aktif dalam dakwah. Beliau menggunakan semaksimum mungkin masa beliau untuk Islam. Beliau menggunakan pelbagai ruang dan peluang untuk berdakwah.

Sebagai seorang pensyarah, beliau menggunakan sepenuhnya pentas akademik untuk berdakwah. Beliau menyertai pelbagai seminar, wacana dan simposium samada di Sarawak ataupun negeri-negeri lain. Beliau juga aktif menghasilkan pelbagai penulisan akademik.

Beliau juga aktif bersukan. Beliau merupakan pemain pasukan bolasepak veteran universiti. Kelibatnya di tengah padang cukup senang untuk dikenali. Beliau cukup selesa menggenakan pakaian yang menutup aurat untuk bersukan. Beliau bukan sekadar dikenali dengan pakaian yang menutup aurat tetapi mutu permainan yang ditampilkan menjadikan beliau disegani di kalangan warga kampus.

Ustaz Che Bakar juga aktif bersama Unit Saudara Kita (USK), satu unit yang membantu golongan Saudara Baru. Pelbagai program di jalankan antaranya Kelas Fardhu Ain, Kelas Al-Quran, Majlis Pengislaman, Bimbingan Solat dan pelbagai lagi. Saya berkesempatan mengikuti Ustaz Che Bakar dalam beberapa program. Sebak hati saya apabila menyaksikan Saudara Kita mempelajari Al Quran daripada Ustaz Che Bakar. Kesungguhan yang mereka tunjukkan untuk mempelajari Kitabullah walaupun mereka sudah berusia cukup mengesankan hati saya. Saya juga sempat mengikuti Majlis Pengislaman Saudara Kita. Saya kira satu mengalaman yang cukup berharga untuk saya. Saya berkesempatan mengajarkan Kalimah Syahadah kepada beberapa orang bakal Saudara Kita pada masa itu.

Terlalu banyak kenangan saya bersama Ustaz Che Bakar. Semakin panjang tulisan ini semakin sebak dada saya. Cukuplah sekadar ini untuk kali ini. Terima kasih ustaz.

Terima Kasih Ustaz...

01 September 2008

Ramadhan Bulan Siyasiah?

Salam Ramadhan untuk semua.

Saya cukup tertarik membaca perutusan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang sempena kedatangan Ramadhan di dalam Harakah bilangan 1371. Beliau menegaskan umat Islam juga wajar menghayati bulan Ramadhan sebagai bulan siyasiah selain mengambil manfaat Ramadhan sebagai bulan ruhiyyah.

Ramadhan sebagai bulan siyasiah bermaksud usaha-usaha menggemblengkan tenaga untuk meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk mengatasi segala permasalahan adalah kembali kepada Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan ini, disamping berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah.

Ramadhan bukan sekadar bukan ruhiyyah semata-mata bahkan merupakan bulan siyasiah kerana hukum dan perundangan Islam yang lengkap diturunkan pada bulan ini. Ramadhan bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi yang lebih penting ialah pada bulan ini perlembagaan tertinggi untuk manusia, Al Quran, diturunkan oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan kali ini memberikan makna yang lebih bererti untuk kita berbanding pada tahun lepas. Harapnya Ramadhan kali ini menjadikan kita lebih bermotivasi untuk meletakkan Al-Quran pada tempat yang sepatutnya.