08 Oktober 2008

Gambar Aktiviti Persatuan Rakan Intelek

Akhir Ramadhan yang lalu, Persatuan Rakan Intelek telah mengadakan majlis berbuka puasa untuk ahli-ahlinya. Saya baru dapat gambar-gambar masa majlis tu. Jom tengok...

************

Program bermula ngan pendaftaran..



Lepas berbuka ngan kurma dan solat Maghrib, masing-masing dah tak sabar menikmati jamuan yang disediakan.



Ambik jangan tak ambik



Mr Presiden, tengok ape tu...



Lepas terawih biasanya ada ceramah atau kuliah, kali ni kita wat LDK, tapi bukan sebarang LDK tau.



*********

Semoga Rakan Intelek terus maju jaya.

07 Oktober 2008

Jihad Besar dan Jihad Kecil

Semalam, saya berkesempatan mengulangkaji buku " ABC Memahami Aktiviti Gerakan Islam" karya Ustaz Fathi Yakan, seorang tokoh Ikhwan Muslimin Lubnan. Saya kongsikan apa yang saya baca semalam.

-------------------------


Perbezaan Antara Jihad Besar dan Jihad Kecil

Antara masalah yang menimbulkan kesamaran di kalangan orang Islam, malah termasuk mereka yang terlibat dalam gerakan Islam ialah perang secara fizikal itu dikatakan perang kecil kerana adanya satu riwayat:

Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar. Berkata mereka : Apa itu jihad yang lebih besar? Katanya: Jihad hati atau jihad nafsu.

Mengenai masalah ini, Imam Hasan Al Banna ada menulis seperti berikut:

Ada sebahagian golongan berusaha mengalihkan pandangan orang ramai dengan ungkapan ini, dari kepentingan perang dan mengadakan persiapan jihad serta niat dan bekerja di jalannya. Adapun athar ini sebenarnya bukan hadis. Kata Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab ( Tasdid Al Qaus), yang masyhur diperkatakan orang hanyalah kata-kata Ibrahim bin 'Uqbah. Dan berkata Al 'iraqi dalam takhrij hadis-hadis Al Ihya : Ungkapan itu diriwayat oleh Al Baihaqi dengan sanadnya yang dhaif dari Jabir.

Berkata Al Banna:

Tapi kalau betul itu hadis, maka tidaklah dapat merubah laluan jihad dan persiapan untuk membebaskan negara umat Islam dan menentang serangan kafir terhadapnya, cuma yang ada di situ ialah kewajipan mujahadah nafsu agar menjadi ikhlas kepada Allah dalam amalannya.

Sedangkan di dalam lapangan ini masih banyak lagi hadis-hadis yang berhubungan dengan jihad.
____________
ABC Memahami Aktiviti Gerakan Islam, Fathi Yakan, Cetakan 1991, m/s 94

05 Oktober 2008

Cerita Raya

Raya kali ini memberikan saya beberapa cerita untuk dikongsikan.

1. Raya Pertama - Harapan Seorang Ayah

Malam raya, selepas Isyak ketika saya sedang menonton tv, ayah hulurkan senaskhah khutbah raya, "Esok baca khutbah raya". Mula2 saya menolak, tapi akhirnya malam tu saya tak tidur kerana berlatih membaca khutbah raya...alahai...

Pagi raya, saya berbaju melayu dan berkain pelikat maroon... Kemudian saya ke surau kampung, bersolat sunat hariraya yang diimamkan oleh ayah saya. Selepas solat, saya membacakan khutbah raya. Khutbah tersebut disediakan oleh Dewan Ulama Pas Negeri Kelantan. Berpeluh gak la berdiri depan orang kampung.

Kampung saya kecik je, tak sampai 50 buah rumah pun. Ayah saya jadi imam kat surau kampung. Satu hari dalam seminggu ayah akan bacakan kitab untuk ahli jemaah. Mereka biasanya bersandar di dinding sambil mendengar ayah mensyarahkan kitab.

Tahun ini bukan kali pertama ayah menyuruh saya membacakan khutbah. Beberapa tahun dahulu, ketika saya masih di sekolah menengah, ayah pernah meminta saya membacakan khutbah raya. Saya tunaikan permintaan ayah dengan bacaan khutbah yang tergagap-gagap, kerana saya tidak cukup tersedia.

Permintaan ayah untuk saya membacakan khutbah raya memberikan makna yang mendalam kepada saya. Saya merasakan adanya suatu harapan yang cukup besar hadir bersama permintaan itu...

2. Raya Ketiga - Kenangan bersama teman-teman

Raya ketiga saya menghadiri jamuan raya alumni sekolah saya. Kesempatan untuk bertemu teman-teman saya gunakan sebaik mungkin. Masa yang ada di isi dengan pelbagai cerita terbaru perkembangan diri masing-masing. Ada juga yang mengimbau kembali kisah kenakalan semasa di sekolah dahulu.

Kami bersembang panjang, bercerita kisah kenakalan kami semasa di sekolah dahulu sambil menikmati biskut raya dan sirap yang disediakan.

Kami merupakan pimpinan Badan Dakwah dan Latihan Kepimpinan Islam (BD) semasa sekolah dahulu. Suatu hari kami merancang untuk mengadakan satu kem kepimpinan Islam. Kami menyiapkan kertas kerja untuk memohon kelulusan program daripada pentadbiran sekolah. Dengan semangat yang berkobar-kobar kami 'mengangkat' kertas kerja tersebut kepada pihak berkenaan, namun kami terpaksa membawanya 'turun' kembali. "Banyak kesilapan"..tegur pihak berkenaan kepada kami. Kami membetulkan kesilapan-kesilapan yang dinyatakan. Juga dengan semangat berkobar-kobar, kami kembali 'mengangkatnya'. Namun, seperti kali pertama, kertas kerja kami terpaksa di bawa 'turun'. "Masih ada kesilapan'..demikian ujar pihak berkenaan kepada kami. Dan begitulah ia berulang-ulang. "Angkat", kemudian "turun". Dalam tempoh masa 3 bulan kami 'mengangkat' dan 'menurunkan' kertas kerja tersebut. Dan jawapan tetap sama, "program tidak diluluskan".

Dan...pada suatu tengahari yang panas, sepanas hati kami kerana program tersebut tidak diluluskan...kertas kerja tersebut dikoyak-koyakkan dan dibiarkan berterabur di dalam bilik BD. Peristiwa ini telah menimbulkan kegemparan di sekolah kami.

Dan...saya dikatakan sebagai antara watak utama dalam peristiwa pengoyakan kertas kerja ini.

Hahaha...nakal betul saya ni...

25 September 2008

Bersahur kali terakhir...

Sekejap lagi Insya Allah saya akan bersahur buat kali terakhir di kolej untuk Ramadhan kali ini. Selepas itu saya akan pulang ke kampung untuk menyambut Eidulfitri bersama keluarga. Rindunya kat mak dan ayah. Tahun ni Insya Allah akan menyambut Eidulfitri di kampung halaman setelah beberapa tahun menyambut Eidulfitri di Sarawak. Terasa rindu untuk cium tangan mak dan ayah di pagi lebaran. Tahun ni baju raya ada orang hadiahkan. Cantik bajunya, warna maroon.

Pada kesempatan ini saya ingin ucapkan Salam Eidulfitri pada semua pengunjung blog ini, kawan-kawan, sahabat-sahabat, guru-guru, pensyarah-pensyarah serta sesiapa sahaja yang mengenali saya. Saya mohon kemaafan dari semua atas segala salah silap saya.

Salam Eidulfitri.





16 September 2008

"Medan dakwah sangat luas..."

Minggu lepas saya telah menyertai satu program yang dinamakan "Erti Nilai Kebebasan" bertempat di Tanjung Piai, Johor. Program tersebut merupakan satu program simulasi dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Johor. Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta dengan cara merasai sendiri kehidupan sebagai seorang banduan. Saya diberikan pakaian penjara yang berwarna putih dan nombor banduan JNC 515/2008. Saya juga digari untuk beberapa ketika. Makan dan tidur juga seperti banduan di penjara.

Sepanjang program saya berkesempatan untuk beberapa kali mengimami solat berjemaah. Saya juga berpeluang untuk menerangkan kepada kawan-kawan bagaimana solat jamak dan qasar dilakukan secara teori dan praktikal setelah diajukan persoalan oleh kawan-kawan. Saya juga mengetuai bacaan doa untuk iftar dan sahur.

Dalam satu pembentangan LDK yang membincangkan kesalahan-kesalahan jenayah, punca-punca jenayah serta penyelesaiannya, saya mengambil kesempatan untuk mengutarakan pendapat saya.

" Hari ini kadar jenayah terus meningkat. Penjara-penjara di Malaysia semakin sesak untuk menampung jumlah banduan yang meningkat semakin mendadak. Jenayah berlaku setiap hari. Tiap-tiap hari ada berita mengenai pembunuhan, rompakan, ragut serta pelbagai lagi jenayah. Penjenayah semakin ganas dan kurangnya sifat kemanusiaan. Orang ramai merasakan keadaan semakin tidak selamat dan mula memikirkan penyelesaian-penyelasaian untuk mengatasi masalah jenayah yang semakin meruncing ini. Pelbagai pendapat diberikan. Bagi saya kenapa tidak untuk kita menerima Islam sebagai penyelesaian. Sebagai contoh, hukuman memotong tangan bagi pencuri, hikmahnya sangat besar, antaranya hukuman potong tangan akan memberikan kesedaran yang lebih kepada masyarakat."

Kawan-kawan memberikan tepukan apabila saya selesai memberikan pendapat. saya tidak pasti samada tepukan itu kerana saya berani mengutarakan pendapat yang 'melawan arus' ataupun kerana perkara lain. Pengarah Jabatan Penjara Negeri Johor, Tuan Azman turut memberikan ulasan mengenai pendapat saya.

Pada majlis penutup saya ditugaskan untuk mengetuai bacaan ikrar peserta program. Saya dan kumpulan saya juga telah dipilih sebagai peserta terbaik dan kumpulan terbaik. Dapat hamper, kongsi dengan kawan-kawan.

Sepanjang perjalanan pulang, saya teringat pesan Murabbi, katanya: "Sesungguhnya medan dakwah ini sangat luas. Setiap peluang hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin... "

Barulah saya memahami apa yang dikatakan oleh Murabbi kerana pada awalnya saya keberatan untuk menyertai program ini kerana mengandaikan program ini tidak 'islamik'. Nampaknya program ini mengubah cara berfikir dan sikap saya dalam menilai sesuatu keadaan. Saya perlu mengubah mentaliti saya yang masih berada di takuk lama. Jangan jadikan alasan 'tidak islamik' untuk menjauhi medan dakwah. Mad'u perlukan daie yang memahami cara hidup dan masalah mereka bukannya daie yang hanya tahu bergaul dan berkawan dengan golongan sendiri dan kemudiannya menghukum mad'u dengan pelbagai cercaan dan tohmahan, bukannya mahu memberikan tunjuk ajar. Juga bukan daie yang hidup dalam kerangka yang sempit dan melemaskan.

Mujahid dan mujahidah, sesungguhnya medan dakwah sangat luas...

10 September 2008

Dimanakah Abi?

Saya bukanlah peminat nasyid dalam ertikata mengikuti setiap perkembangan mana-mana kumpulan nasyid arus perdana hari ini. Saya hanya menikmati nasyid yang 'kena' dengan jiwa saya, antaranya ialah satu lagu nasyid yang bertajuk 'Dimanakah Abi?', yang disampaikan oleh kumpulan Arraid.

-------------------------------------

Dimanakah Abi - Arraid

Dalam damai teratak sepi
Menjelma pertanyaan menyentak hati
Bermainlah pilu sang isteri
Membelai pipi permata suci

Ummi, dimanakan abi
Bergetarlah bibir mencari
Perlukah kukisahkan
Apa yang terjadi
Pada si kecil yang ingin mengerti
Sayang abi kekasih umi
Pergi mencari cinta ilahi

Tidurlah sayang
Dodoikan bersama zikir mendamaikan
Bangunmu esok menjadi pejuang
Mujahid sepanjang zaman

------------------------------------

Ah, nasyid ini benar-benar meruntun jiwa saya.

09 September 2008

Sembang Pasca Rehlah

Balik terawih tadi saya pergi ziarah junior saya. Minggu lepas kami rehlah sama-sama. Balik rehlah tempohari, baru tadi saya berkesempatan bersembang dengannya. Tadi beliau bertanyakan beberapa perkara mengenai perbualan kami semasa rehlah tempohari. Katanya, perbualan hari tu tak habis lagi, jadi beliau minta saya sambung balik perbualan tersebut.

Saya kata boleh je...

Konklusinya, setelah saya menerangkan panjang lebar mengenai beberapa pertanyaan beliau semasa rehlah tempohari, yang ditambah dengan pelbagai soalan lagi, saya meminjamkan buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' karya Ustaz Fathi Yakan kepadanya.

Saya mengesyorkan beliau membaca beberapa bahagian daripada buku tersebut untuk menambahkan lagi kefahaman mengenai topik yang kami sembang tadi. Saya mencadangkan beliau membaca Bahagian Kedua: Bab 2 : Saya Mesti Meyakini Bahawa Beramal Untuk Islam Adalah Wajib

Disini saya petik sebahagian daripada Bab 2.

------------------------------------------------------

Sebenarnya beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar ialah untuk melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melainkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan di alam ini. Seluruh amal ini dan lain-lain keperluan untuk amalan amalan ini serta lain-lain perkara yang berkaitan yang dituntut oleh amal-amal ini adalah satu tuntutan syariat. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tertegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum muslimin.

Selagi kekuasaan ini tidak wujud, maka seluruh kecuaian atau kecacatan para petugas amal Islam dan kecuaian orang yang tidak turut serta dalam kerja-kerja ini, menurut pandangan Islam adalah satu dosa yang tidak akan hilang melainkan orang-orang Islam bersegera bangun memikul tanggungjawab melaksanakan kerja-kerja untuk menegakkan Islam.

Di antara bukti-bukti yang menguatkan bahawa beramal untuk Islam adalah wajib dan ianya bersifat wajib taklifi (difardukan), bukannya tanggungjawab yang diperintahkan melakukan secara sukarela, dapat dilihat secara yakin dari beberapa sudut:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda').
Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum.
Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem dan undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini mewajibkan umat Islam bekerja untuk menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat).
Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam. Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.

Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah.
Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.

Kelima: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.
Sejak awal-awal lagi para petugas yang bekerja untuk Islam mestilah memahami secara mendalam bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang, bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian dari hak-hak Allah ke atas mereka supaya mereka memperolehi ganjaran dari sisi Allah di hari kiamat kelak, hari di mana pandangan menjadi tunduk merendah dan hati menjadi bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab. Mereka inilah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan mereka yang rugi sekiranya mereka berundur dan berpaling tadah.

--------------------------------------------------------------

Baca elok-elok ye adik. Nanti jadi pejuang Islam.

03 September 2008

Kenangan Ramadhan - Terima Kasih Ustaz

Tahun ini merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadhan di Semenanjung Malaysia setelah tiga tahun menyambut Ramadhan di Sarawak Bumi Kenyalang. Tiga tahun menyambut Ramadhan di Sarawak telah mengukir pelbagai kenangan yang tak dapat dilupakan. Saat azan berkumandang menandakan waktu berbuka puasa telah mengingatkan saya kenangan-kenangan ketika di Sarawak.

Sosok yang paling membekas di jiwa saya sempena Ramadhan ialah pensyarah saya semasa di Sarawak iaitu Ustaz Che Bakar Che Mat. Sewaktu Ramadhan beliau selalu berbuka puasa bersama-sama kami, para mahasiswa. Kami biasanya akan menganjurkan majlis berbuka puasa di surau kampus. Kami akan bersama-sama memasak juadah untuk berbuka puasa. Ustaz Che Bakar selalu menyertai kami memasak juadah berbuka puasa. Ustaz Che Bakar memang suka memasak dan masakannya memang sedap. Sambil memasak Ustaz Che Bakar akan berbual dengan kami sambil memberikan pengajaran-pengajaran yang berguna. Celotehnya yang bersahaja membuatkan kami tidak bosan mendengarnya.

Ramadhan kali ini menggamit rindu saya untuk berbuka bersama Ustaz Che Bakar.

Ustaz Che Bakar memang istimewa kepada saya. Beliau banyak mendidik dan membentuk saya menjadi insan yang hidup kerana Allah dan memberi manfaat kepada manusia. Beliau banyak mengajar saya untuk menjadi seorang daie yang bagus walaupun saya sekarang masih belum lagi menjadi daie yang bagus. Ustaz Che Bakar juga seorang yang tinggi siasahnya. Pandangan-pandangan beliau amat bermanfaat untuk saya dalam menggerakkan usaha saya yang tak seberapa ini untuk Islam. Ustaz Che Bakar merupakan seorang yang cukup sederhana dan merendah diri.

Ustaz Che Bakar seorang yang aktif dalam dakwah. Beliau menggunakan semaksimum mungkin masa beliau untuk Islam. Beliau menggunakan pelbagai ruang dan peluang untuk berdakwah.

Sebagai seorang pensyarah, beliau menggunakan sepenuhnya pentas akademik untuk berdakwah. Beliau menyertai pelbagai seminar, wacana dan simposium samada di Sarawak ataupun negeri-negeri lain. Beliau juga aktif menghasilkan pelbagai penulisan akademik.

Beliau juga aktif bersukan. Beliau merupakan pemain pasukan bolasepak veteran universiti. Kelibatnya di tengah padang cukup senang untuk dikenali. Beliau cukup selesa menggenakan pakaian yang menutup aurat untuk bersukan. Beliau bukan sekadar dikenali dengan pakaian yang menutup aurat tetapi mutu permainan yang ditampilkan menjadikan beliau disegani di kalangan warga kampus.

Ustaz Che Bakar juga aktif bersama Unit Saudara Kita (USK), satu unit yang membantu golongan Saudara Baru. Pelbagai program di jalankan antaranya Kelas Fardhu Ain, Kelas Al-Quran, Majlis Pengislaman, Bimbingan Solat dan pelbagai lagi. Saya berkesempatan mengikuti Ustaz Che Bakar dalam beberapa program. Sebak hati saya apabila menyaksikan Saudara Kita mempelajari Al Quran daripada Ustaz Che Bakar. Kesungguhan yang mereka tunjukkan untuk mempelajari Kitabullah walaupun mereka sudah berusia cukup mengesankan hati saya. Saya juga sempat mengikuti Majlis Pengislaman Saudara Kita. Saya kira satu mengalaman yang cukup berharga untuk saya. Saya berkesempatan mengajarkan Kalimah Syahadah kepada beberapa orang bakal Saudara Kita pada masa itu.

Terlalu banyak kenangan saya bersama Ustaz Che Bakar. Semakin panjang tulisan ini semakin sebak dada saya. Cukuplah sekadar ini untuk kali ini. Terima kasih ustaz.

Terima Kasih Ustaz...

01 September 2008

Ramadhan Bulan Siyasiah?

Salam Ramadhan untuk semua.

Saya cukup tertarik membaca perutusan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang sempena kedatangan Ramadhan di dalam Harakah bilangan 1371. Beliau menegaskan umat Islam juga wajar menghayati bulan Ramadhan sebagai bulan siyasiah selain mengambil manfaat Ramadhan sebagai bulan ruhiyyah.

Ramadhan sebagai bulan siyasiah bermaksud usaha-usaha menggemblengkan tenaga untuk meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk mengatasi segala permasalahan adalah kembali kepada Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan ini, disamping berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah.

Ramadhan bukan sekadar bukan ruhiyyah semata-mata bahkan merupakan bulan siyasiah kerana hukum dan perundangan Islam yang lengkap diturunkan pada bulan ini. Ramadhan bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi yang lebih penting ialah pada bulan ini perlembagaan tertinggi untuk manusia, Al Quran, diturunkan oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan kali ini memberikan makna yang lebih bererti untuk kita berbanding pada tahun lepas. Harapnya Ramadhan kali ini menjadikan kita lebih bermotivasi untuk meletakkan Al-Quran pada tempat yang sepatutnya.

29 Ogos 2008

Senyum Seorang Pejuang

Pejuang,
wajahmu indah menyinari,
senyummu tenang mendamaikan,
biarpun merah membaluti jasadmu.

Pejuang,
kau tukarkan jiwamu dengan sebuah perjuangan,
kau gantikan umurmu dengan kelangsungan perjuangan,
kau tinggalkan keluargamu demi ummah tercinta.

Pejuang,
tak akan ku persiakan harga sebuah perjuangan yang kau bayar,
akan ku turuti jalan perjuanganmu,
yang masih bergema derap langkahmu.

Pejuang,
segera ku berlari,
nantikan aku di sana.

Ekspedisi Dakwah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Ekspedisi Dakwah tiga hari berturut-turut sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-51 dan sebelum menjelangnya Ramadan.

Menurut Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen yang menghubungi Harakahdaily hari ini, ekspedisi dakwah tersebut akan bermula hari ini yang mana Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bersama Pemuda PAS Pusat akan mengadakan bantahan Konsert Avril Lavigne di hadapan Stadium Merdeka.

Semua peserta dan petugas-petugas unit Amal Pemuda akan berkumpul di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka pada pukul 7.00 petang. Solat Maghrib dan solat hajat akan diadakan secara berjemaah di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka.

Sementara itu, ekspedisi kedua akan diadakan pada malam 30 Ogos, yang juga merupakan aktiviti tahunan Dewan Pemuda Wilayah. Semua peserta diminta berkumpul di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 10 malam untuk sesi taklimat.

Bagi Ekspedisi yang ketiga, akan diadakan pada 31 Ogos dengan anjuran bersama Ahli Parlimen Titiwangsa,Dr. Lo'Lo' Mohamad Ghazali. Ekspedisi ketiga ini diadakan khusus bagi mengunjungi golongan pekerja seks dan mak nyah di sekitar Jalan Hj. Taib. Para peserta diminta berkumpul pada jam 4.30 petang di Surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh ahli Pas, Umat Islam dan NGO untuk turut bergabung dalam usaha dakwah ini.

-Petikan dari Harakahdaily-

28 Ogos 2008

Merdeka?

Tinggal beberapa hari lagi kita akan merayakan ulang tahun ke 51 kemerdekaan negara kita. Kemerdekaan yang kita kecapi ini merupakan hasil perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang mana ada di kalangan mereka tidak sempat untuk mengecapi hasil perjuangan mereka kerana mereka telah membayar harga yang mahal untuk kemerdekaan negara. Mereka tukarkan jiwa mereka untuk kemerdekaan ibu pertiwi.

Nama-nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut merupakan pejuang kemerdekaan yang meletakkan asas akidah dalam perjuangan menentang penjajah. Perjuangan mereka bukan sekadar untuk membebaskan bangsa dan tanahair tetapi perjuangan mereka perjuangan yang lebih mulia iaitu membebaskan manusia daripada perhambaaan sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sambutan Kemerdekaan seharusnya tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat dan melalaikan serta menjahanamkan manusia. Golongan mahasiswa harus tampil untuk memikul tanggungjawab bagi memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat. Pimpinan mahasiswa harus memobilasikan kekuatan mahasiswa dengan mengambil pendekatan dakwah untuk menyedarkan masyarakat yang lalai dan leka. Inilah masanya untuk mahasiswa menyalurkan idea dan tenaga, masa untuk mahasiswa mengutip pengalaman berharga serta masa untuk mahasiswa menjadi jurubicara ummah.

Sehelai risalah yang kita edarkan, sepatah kata yang kita luahkan mampu menjadi permulaan yang baik untuk kita daripada kita tidak melakukan apa-apa dan hanya melihat dari kejauhan.

Menanti 16 September

Semalam ( Khamis, 28 Ogos 2008 ), saya berkesempatan melihat perbahasan di Parlimen dengan mata saya sendiri. Lawatan bersama rakan-rakan sekursus yang turut disertai oleh para pensyarah telah memberikan pengalaman yang berharga buat saya. Kalau sebelum ini saya hanya berpeluang menonton di kaca televisyen YB-YB berbahas di Parlimen, semalam saya dapat melihat secara langsung. Menariknya secara kebetulan semalam merupakan tarikh kembalinya Dato Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen setelah lebih 10 tahun tidak menjadi Ahli Parlimen. Saya hanya berkesempatan mengikuti bahagian akhir persidangan Parlimen pada hari semalam yang menyaksikan perbahasan yang menarik daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Kehadiran DSAI dalam Parlimen merupakan titik awal ke arah pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan BN yang telah 50 tahun memerintah negara. 10 tahun lalu DSAI telah dipaksa meninggalkan dewan dengan pelbagai tuduhan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam kerajaan Barisan Nasional.

Hadirnya DSAI semalam ke Parlimen telah mencorakkan landskap potilik negara yang amat menarik. Kemenangan DSAI di Permatang Pauh memberikan implikasi yang besar untuk negara Malaysia. Tarikh 16 September merupakan tarikh yang ditunggu untuk menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negara bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional. Detik yang sedang dicongak oleh kawan dan lawan.

Hari ini ( 29 Ogos) kerajaan Barisan Nasional akan membentangkan Bajet 2009. Ramai menjangkakan kerajaan Barisan Nasional akan menawarkan apa sahaja kepada rakyat untuk menyelamatkan kerajaan mereka yang bakal tumbang...

Gelombang perubahan kian hebat dan akan melalui kemuncaknya, persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk mengisi kemenangan ini, ataupun perubahan ini bakal berlaku tanpa kita melakukan apa-apa?

Penting untuk kita memperkasakan dakwah serta memantapkan tarbiah. Ruang yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi golongan mahasiswa yang merupakan pemimpin masa depan negara. Mahasiswa hendaklah menjadi jurubicara kepada masyarakat. Mahasiswa harus mendepani segala permasalahan ummah. Mahasiswa harus turun ke lapangan masyarakat bukannya hanya menjadi ulat buku ataupun hidup dalam dunia tersendiri yang tertutup daripada segala permasalah negara. Mahasiswa harus gembleng tenaga untuk memastikan dakwah dan tarbiah terus digerakkan dengan penuh efisyen dan berkualiti yang mampu menarik orang ramai untuk memahami dan mendalami Islam.

Bersediakah kita?

26 Ogos 2008

Jon Albert - satu nama

Jon Albert- satu nama yang menongkah arus bagi blog-blog 'islamik' yang majoritinya dinamakan dengan nama-nama yang 'islamik' dan indah-indah. Mujahid... mujahidah.... ustaz.... ustazah... pejuang islam dan pelbagai lagi.

Jon Albert punyai kisah yang tersendiri, biarpun kisahnya kecil pada pandangan orang tapi bagi saya itulah harta saya, kenangan yang tak bisa dilupakan.

Jon Albert merupakan nama samaran yang saya gunakan untuk menerbitkan beberapa risalah dakwah bersama rakan-rakan ketika menuntut di Bumi Kenyalang beberapa tahun yang lalu. Selalunya di akhir risalah itu saya akan coretkan ' editor : jon albert'.

Antara risalah yang saya usahakan ialah Zinnirah. Awal kelahirannya cuma sehelai kertas A4. Dorongan daripada teman-teman membakar semangat saya untuk menambah bilangan mukasurat pada keluaran seterusnya. Zinnirah biasanya di edarkan tika program Fardhu Ain anjuran Jawatankuasa Perwakilan Surau (JPS) pada setiap Jumaat. Individu yang banyak membantu pada peringkat awal ialah Saudari Nadiah Naim ( nadiahnaim.blogspot.com), yang ketika itu merupakan seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Risalah lain antaranya, Taman Syuhada dan Srikandi.

Kenangan itulah, walaupun biasa sahaja bagi orang lain tapi bagi saya cukup signifikan, walaupun saya sebenarnya tidak pasti bagaimanakah nama Jon Albert itu timbul dalam fikiran saya pada awalnya.