28 Ogos 2008

Merdeka?

Tinggal beberapa hari lagi kita akan merayakan ulang tahun ke 51 kemerdekaan negara kita. Kemerdekaan yang kita kecapi ini merupakan hasil perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang mana ada di kalangan mereka tidak sempat untuk mengecapi hasil perjuangan mereka kerana mereka telah membayar harga yang mahal untuk kemerdekaan negara. Mereka tukarkan jiwa mereka untuk kemerdekaan ibu pertiwi.

Nama-nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut merupakan pejuang kemerdekaan yang meletakkan asas akidah dalam perjuangan menentang penjajah. Perjuangan mereka bukan sekadar untuk membebaskan bangsa dan tanahair tetapi perjuangan mereka perjuangan yang lebih mulia iaitu membebaskan manusia daripada perhambaaan sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sambutan Kemerdekaan seharusnya tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat dan melalaikan serta menjahanamkan manusia. Golongan mahasiswa harus tampil untuk memikul tanggungjawab bagi memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat. Pimpinan mahasiswa harus memobilasikan kekuatan mahasiswa dengan mengambil pendekatan dakwah untuk menyedarkan masyarakat yang lalai dan leka. Inilah masanya untuk mahasiswa menyalurkan idea dan tenaga, masa untuk mahasiswa mengutip pengalaman berharga serta masa untuk mahasiswa menjadi jurubicara ummah.

Sehelai risalah yang kita edarkan, sepatah kata yang kita luahkan mampu menjadi permulaan yang baik untuk kita daripada kita tidak melakukan apa-apa dan hanya melihat dari kejauhan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

betul..betul..betul..