28 Ogos 2008

Menanti 16 September

Semalam ( Khamis, 28 Ogos 2008 ), saya berkesempatan melihat perbahasan di Parlimen dengan mata saya sendiri. Lawatan bersama rakan-rakan sekursus yang turut disertai oleh para pensyarah telah memberikan pengalaman yang berharga buat saya. Kalau sebelum ini saya hanya berpeluang menonton di kaca televisyen YB-YB berbahas di Parlimen, semalam saya dapat melihat secara langsung. Menariknya secara kebetulan semalam merupakan tarikh kembalinya Dato Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen setelah lebih 10 tahun tidak menjadi Ahli Parlimen. Saya hanya berkesempatan mengikuti bahagian akhir persidangan Parlimen pada hari semalam yang menyaksikan perbahasan yang menarik daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Kehadiran DSAI dalam Parlimen merupakan titik awal ke arah pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan BN yang telah 50 tahun memerintah negara. 10 tahun lalu DSAI telah dipaksa meninggalkan dewan dengan pelbagai tuduhan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam kerajaan Barisan Nasional.

Hadirnya DSAI semalam ke Parlimen telah mencorakkan landskap potilik negara yang amat menarik. Kemenangan DSAI di Permatang Pauh memberikan implikasi yang besar untuk negara Malaysia. Tarikh 16 September merupakan tarikh yang ditunggu untuk menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negara bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional. Detik yang sedang dicongak oleh kawan dan lawan.

Hari ini ( 29 Ogos) kerajaan Barisan Nasional akan membentangkan Bajet 2009. Ramai menjangkakan kerajaan Barisan Nasional akan menawarkan apa sahaja kepada rakyat untuk menyelamatkan kerajaan mereka yang bakal tumbang...

Gelombang perubahan kian hebat dan akan melalui kemuncaknya, persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk mengisi kemenangan ini, ataupun perubahan ini bakal berlaku tanpa kita melakukan apa-apa?

Penting untuk kita memperkasakan dakwah serta memantapkan tarbiah. Ruang yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi golongan mahasiswa yang merupakan pemimpin masa depan negara. Mahasiswa hendaklah menjadi jurubicara kepada masyarakat. Mahasiswa harus mendepani segala permasalahan ummah. Mahasiswa harus turun ke lapangan masyarakat bukannya hanya menjadi ulat buku ataupun hidup dalam dunia tersendiri yang tertutup daripada segala permasalah negara. Mahasiswa harus gembleng tenaga untuk memastikan dakwah dan tarbiah terus digerakkan dengan penuh efisyen dan berkualiti yang mampu menarik orang ramai untuk memahami dan mendalami Islam.

Bersediakah kita?

Tiada ulasan: