29 Ogos 2008

Senyum Seorang Pejuang

Pejuang,
wajahmu indah menyinari,
senyummu tenang mendamaikan,
biarpun merah membaluti jasadmu.

Pejuang,
kau tukarkan jiwamu dengan sebuah perjuangan,
kau gantikan umurmu dengan kelangsungan perjuangan,
kau tinggalkan keluargamu demi ummah tercinta.

Pejuang,
tak akan ku persiakan harga sebuah perjuangan yang kau bayar,
akan ku turuti jalan perjuanganmu,
yang masih bergema derap langkahmu.

Pejuang,
segera ku berlari,
nantikan aku di sana.

Ekspedisi Dakwah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Ekspedisi Dakwah tiga hari berturut-turut sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-51 dan sebelum menjelangnya Ramadan.

Menurut Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen yang menghubungi Harakahdaily hari ini, ekspedisi dakwah tersebut akan bermula hari ini yang mana Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bersama Pemuda PAS Pusat akan mengadakan bantahan Konsert Avril Lavigne di hadapan Stadium Merdeka.

Semua peserta dan petugas-petugas unit Amal Pemuda akan berkumpul di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka pada pukul 7.00 petang. Solat Maghrib dan solat hajat akan diadakan secara berjemaah di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka.

Sementara itu, ekspedisi kedua akan diadakan pada malam 30 Ogos, yang juga merupakan aktiviti tahunan Dewan Pemuda Wilayah. Semua peserta diminta berkumpul di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 10 malam untuk sesi taklimat.

Bagi Ekspedisi yang ketiga, akan diadakan pada 31 Ogos dengan anjuran bersama Ahli Parlimen Titiwangsa,Dr. Lo'Lo' Mohamad Ghazali. Ekspedisi ketiga ini diadakan khusus bagi mengunjungi golongan pekerja seks dan mak nyah di sekitar Jalan Hj. Taib. Para peserta diminta berkumpul pada jam 4.30 petang di Surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh ahli Pas, Umat Islam dan NGO untuk turut bergabung dalam usaha dakwah ini.

-Petikan dari Harakahdaily-

28 Ogos 2008

Merdeka?

Tinggal beberapa hari lagi kita akan merayakan ulang tahun ke 51 kemerdekaan negara kita. Kemerdekaan yang kita kecapi ini merupakan hasil perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan yang mana ada di kalangan mereka tidak sempat untuk mengecapi hasil perjuangan mereka kerana mereka telah membayar harga yang mahal untuk kemerdekaan negara. Mereka tukarkan jiwa mereka untuk kemerdekaan ibu pertiwi.

Nama-nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut merupakan pejuang kemerdekaan yang meletakkan asas akidah dalam perjuangan menentang penjajah. Perjuangan mereka bukan sekadar untuk membebaskan bangsa dan tanahair tetapi perjuangan mereka perjuangan yang lebih mulia iaitu membebaskan manusia daripada perhambaaan sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sambutan Kemerdekaan seharusnya tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat dan melalaikan serta menjahanamkan manusia. Golongan mahasiswa harus tampil untuk memikul tanggungjawab bagi memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini tidak dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat. Pimpinan mahasiswa harus memobilasikan kekuatan mahasiswa dengan mengambil pendekatan dakwah untuk menyedarkan masyarakat yang lalai dan leka. Inilah masanya untuk mahasiswa menyalurkan idea dan tenaga, masa untuk mahasiswa mengutip pengalaman berharga serta masa untuk mahasiswa menjadi jurubicara ummah.

Sehelai risalah yang kita edarkan, sepatah kata yang kita luahkan mampu menjadi permulaan yang baik untuk kita daripada kita tidak melakukan apa-apa dan hanya melihat dari kejauhan.

Menanti 16 September

Semalam ( Khamis, 28 Ogos 2008 ), saya berkesempatan melihat perbahasan di Parlimen dengan mata saya sendiri. Lawatan bersama rakan-rakan sekursus yang turut disertai oleh para pensyarah telah memberikan pengalaman yang berharga buat saya. Kalau sebelum ini saya hanya berpeluang menonton di kaca televisyen YB-YB berbahas di Parlimen, semalam saya dapat melihat secara langsung. Menariknya secara kebetulan semalam merupakan tarikh kembalinya Dato Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen setelah lebih 10 tahun tidak menjadi Ahli Parlimen. Saya hanya berkesempatan mengikuti bahagian akhir persidangan Parlimen pada hari semalam yang menyaksikan perbahasan yang menarik daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang.

Kehadiran DSAI dalam Parlimen merupakan titik awal ke arah pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan kerajaan BN yang telah 50 tahun memerintah negara. 10 tahun lalu DSAI telah dipaksa meninggalkan dewan dengan pelbagai tuduhan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam kerajaan Barisan Nasional.

Hadirnya DSAI semalam ke Parlimen telah mencorakkan landskap potilik negara yang amat menarik. Kemenangan DSAI di Permatang Pauh memberikan implikasi yang besar untuk negara Malaysia. Tarikh 16 September merupakan tarikh yang ditunggu untuk menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negara bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional. Detik yang sedang dicongak oleh kawan dan lawan.

Hari ini ( 29 Ogos) kerajaan Barisan Nasional akan membentangkan Bajet 2009. Ramai menjangkakan kerajaan Barisan Nasional akan menawarkan apa sahaja kepada rakyat untuk menyelamatkan kerajaan mereka yang bakal tumbang...

Gelombang perubahan kian hebat dan akan melalui kemuncaknya, persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk mengisi kemenangan ini, ataupun perubahan ini bakal berlaku tanpa kita melakukan apa-apa?

Penting untuk kita memperkasakan dakwah serta memantapkan tarbiah. Ruang yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi golongan mahasiswa yang merupakan pemimpin masa depan negara. Mahasiswa hendaklah menjadi jurubicara kepada masyarakat. Mahasiswa harus mendepani segala permasalahan ummah. Mahasiswa harus turun ke lapangan masyarakat bukannya hanya menjadi ulat buku ataupun hidup dalam dunia tersendiri yang tertutup daripada segala permasalah negara. Mahasiswa harus gembleng tenaga untuk memastikan dakwah dan tarbiah terus digerakkan dengan penuh efisyen dan berkualiti yang mampu menarik orang ramai untuk memahami dan mendalami Islam.

Bersediakah kita?

26 Ogos 2008

Jon Albert - satu nama

Jon Albert- satu nama yang menongkah arus bagi blog-blog 'islamik' yang majoritinya dinamakan dengan nama-nama yang 'islamik' dan indah-indah. Mujahid... mujahidah.... ustaz.... ustazah... pejuang islam dan pelbagai lagi.

Jon Albert punyai kisah yang tersendiri, biarpun kisahnya kecil pada pandangan orang tapi bagi saya itulah harta saya, kenangan yang tak bisa dilupakan.

Jon Albert merupakan nama samaran yang saya gunakan untuk menerbitkan beberapa risalah dakwah bersama rakan-rakan ketika menuntut di Bumi Kenyalang beberapa tahun yang lalu. Selalunya di akhir risalah itu saya akan coretkan ' editor : jon albert'.

Antara risalah yang saya usahakan ialah Zinnirah. Awal kelahirannya cuma sehelai kertas A4. Dorongan daripada teman-teman membakar semangat saya untuk menambah bilangan mukasurat pada keluaran seterusnya. Zinnirah biasanya di edarkan tika program Fardhu Ain anjuran Jawatankuasa Perwakilan Surau (JPS) pada setiap Jumaat. Individu yang banyak membantu pada peringkat awal ialah Saudari Nadiah Naim ( nadiahnaim.blogspot.com), yang ketika itu merupakan seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Risalah lain antaranya, Taman Syuhada dan Srikandi.

Kenangan itulah, walaupun biasa sahaja bagi orang lain tapi bagi saya cukup signifikan, walaupun saya sebenarnya tidak pasti bagaimanakah nama Jon Albert itu timbul dalam fikiran saya pada awalnya.