29 Ogos 2008

Ekspedisi Dakwah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Ekspedisi Dakwah tiga hari berturut-turut sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-51 dan sebelum menjelangnya Ramadan.

Menurut Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen yang menghubungi Harakahdaily hari ini, ekspedisi dakwah tersebut akan bermula hari ini yang mana Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bersama Pemuda PAS Pusat akan mengadakan bantahan Konsert Avril Lavigne di hadapan Stadium Merdeka.

Semua peserta dan petugas-petugas unit Amal Pemuda akan berkumpul di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka pada pukul 7.00 petang. Solat Maghrib dan solat hajat akan diadakan secara berjemaah di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka.

Sementara itu, ekspedisi kedua akan diadakan pada malam 30 Ogos, yang juga merupakan aktiviti tahunan Dewan Pemuda Wilayah. Semua peserta diminta berkumpul di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 10 malam untuk sesi taklimat.

Bagi Ekspedisi yang ketiga, akan diadakan pada 31 Ogos dengan anjuran bersama Ahli Parlimen Titiwangsa,Dr. Lo'Lo' Mohamad Ghazali. Ekspedisi ketiga ini diadakan khusus bagi mengunjungi golongan pekerja seks dan mak nyah di sekitar Jalan Hj. Taib. Para peserta diminta berkumpul pada jam 4.30 petang di Surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Sehubungan itu beliau mengajak seluruh ahli Pas, Umat Islam dan NGO untuk turut bergabung dalam usaha dakwah ini.

-Petikan dari Harakahdaily-

Tiada ulasan: