16 September 2008

"Medan dakwah sangat luas..."

Minggu lepas saya telah menyertai satu program yang dinamakan "Erti Nilai Kebebasan" bertempat di Tanjung Piai, Johor. Program tersebut merupakan satu program simulasi dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Johor. Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta dengan cara merasai sendiri kehidupan sebagai seorang banduan. Saya diberikan pakaian penjara yang berwarna putih dan nombor banduan JNC 515/2008. Saya juga digari untuk beberapa ketika. Makan dan tidur juga seperti banduan di penjara.

Sepanjang program saya berkesempatan untuk beberapa kali mengimami solat berjemaah. Saya juga berpeluang untuk menerangkan kepada kawan-kawan bagaimana solat jamak dan qasar dilakukan secara teori dan praktikal setelah diajukan persoalan oleh kawan-kawan. Saya juga mengetuai bacaan doa untuk iftar dan sahur.

Dalam satu pembentangan LDK yang membincangkan kesalahan-kesalahan jenayah, punca-punca jenayah serta penyelesaiannya, saya mengambil kesempatan untuk mengutarakan pendapat saya.

" Hari ini kadar jenayah terus meningkat. Penjara-penjara di Malaysia semakin sesak untuk menampung jumlah banduan yang meningkat semakin mendadak. Jenayah berlaku setiap hari. Tiap-tiap hari ada berita mengenai pembunuhan, rompakan, ragut serta pelbagai lagi jenayah. Penjenayah semakin ganas dan kurangnya sifat kemanusiaan. Orang ramai merasakan keadaan semakin tidak selamat dan mula memikirkan penyelesaian-penyelasaian untuk mengatasi masalah jenayah yang semakin meruncing ini. Pelbagai pendapat diberikan. Bagi saya kenapa tidak untuk kita menerima Islam sebagai penyelesaian. Sebagai contoh, hukuman memotong tangan bagi pencuri, hikmahnya sangat besar, antaranya hukuman potong tangan akan memberikan kesedaran yang lebih kepada masyarakat."

Kawan-kawan memberikan tepukan apabila saya selesai memberikan pendapat. saya tidak pasti samada tepukan itu kerana saya berani mengutarakan pendapat yang 'melawan arus' ataupun kerana perkara lain. Pengarah Jabatan Penjara Negeri Johor, Tuan Azman turut memberikan ulasan mengenai pendapat saya.

Pada majlis penutup saya ditugaskan untuk mengetuai bacaan ikrar peserta program. Saya dan kumpulan saya juga telah dipilih sebagai peserta terbaik dan kumpulan terbaik. Dapat hamper, kongsi dengan kawan-kawan.

Sepanjang perjalanan pulang, saya teringat pesan Murabbi, katanya: "Sesungguhnya medan dakwah ini sangat luas. Setiap peluang hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin... "

Barulah saya memahami apa yang dikatakan oleh Murabbi kerana pada awalnya saya keberatan untuk menyertai program ini kerana mengandaikan program ini tidak 'islamik'. Nampaknya program ini mengubah cara berfikir dan sikap saya dalam menilai sesuatu keadaan. Saya perlu mengubah mentaliti saya yang masih berada di takuk lama. Jangan jadikan alasan 'tidak islamik' untuk menjauhi medan dakwah. Mad'u perlukan daie yang memahami cara hidup dan masalah mereka bukannya daie yang hanya tahu bergaul dan berkawan dengan golongan sendiri dan kemudiannya menghukum mad'u dengan pelbagai cercaan dan tohmahan, bukannya mahu memberikan tunjuk ajar. Juga bukan daie yang hidup dalam kerangka yang sempit dan melemaskan.

Mujahid dan mujahidah, sesungguhnya medan dakwah sangat luas...

1 ulasan:

Uwais Al-Qarni berkata...

Salam...

Tak dinafikan medan dakwah sangat luas dan penuh dengan mehnah dan tribulasi dari puak kufur mahu pun dari musuh2 Allah... dalam berdakwah kene ada seni sbgaimana yg di tunjukkan oleh Rasulullah..sgt berguna utk enta di sana :) hmm teringat plak cite pencuri jumpe nabi nk masuk Islam huhu...